Saturday 3 October 2015





KATEGORI MURID BERKEPERLUAN KHAS (MBK)



PENGENALAN
Berdasarkan Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, Pendidikan Khas ertinya pendidikan bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di suatu sekolah khas atau di sekolah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI) pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah atau pendidikan lepas menengah. Dalam sistem Pendidikan Khas di Malaysia, PPKI merupakan penyumbang utama enrolmen Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan dilaksanakan di seluruh negara.
“Murid Berkeperluan Khas ertinya murid yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak, sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi atau ketidakupayaan serta masalah yang telah dinyatakan di atas”.
Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013.



Kategori Murid Berkeperluan Khas
Kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK) perlu disahkan oleh pengamal atau pakar perubatan sebelum dibuat penempatan dan pendaftaran OKU. Guru Pendidikan Khas seharusnya mengenal pasti semua kategori MBK berdasarkan pengesahan doktor untuk mengesan ciri-ciri MBK berasaskan kategori sebagai langkah awal menyediakan data dan maklumat murid sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Kategori murid boleh dirujuk kepada Buku Garis Panduan Pendaftaran OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2014.
Kategori MBK adalah seperti berikut:


Ketidakupayaan Penglihatan (BL)

Ketidakupayaan penglihatan bermaksud tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di keduadua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:
- Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation;
- Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation;
- Buta sebelah mata bermaksud hanya sebelah mata sahaja berfungsi dengan sempurna dan sebelah lagi penglihatan kurang daripada 3/60 atau kurang dari 20 darjah dari fixation bermaksud buta.


Ketidakupayaan Pendengaran (BD)

Ketidakupayaan pendengaran bermaksud murid yang mempunyai masalah pendengaran. Masalah pendengaran terbahagi kepada empat peringkat kehilangan deria pendengaran berdasarkan tahap desibel (dB) iaitu:
- Ringan (Mild: ) iaitu 25-40 dB;
- Sederhana (Moderate) iaitu 41-60 dB;
- Teruk (Severe) iaitu 61-90 dB;
- Sangat Teruk (Profound) iaitu 91 dB dan ke atas.
Pilihan komunikasi bagi kanak-kanak masalah pendengaran bergantung kepada kesediaan intervensi awal kanak-kanak tersebut. Bagi kanak-kanak yang menggunakan alat bantuan pendengaran dan mempunyai keupayaan bertutur maka komunikasi yang dipilih adalah pertuturan biasa dengan bantuan peralatan.


Ketidakupayaan Pertuturan

Ketidakupayaan pertuturan terdiri daripada empat masalah iaitu:
- Masalah sebutan
Kecenderungan meninggalkan suku kata atau mengubah bunyi sesuatu perkataan atau dikenali sebagai pelat.
-Masalah gagap
Merupakan gangguan terhadap kelancaran percakapan. Aliran pertuturan terganggu di mana seseorang itu mungkin mengulang, berhenti seketika atau mencelah dengan suku kata atau perkataan. Gagap kerap berlaku apabila individu tersebut teruja dan ingin menyatakan sesuatu dengan cepat.
- Masalah suara
Berkaitan dengan kualiti suara seseorang. Ia mungkin terlalu lantang, lembut, garau, kasar, sengau, nada yang tinggi, rendah atau nada yang sama dan tidak berubah.
- Masalah bahasa
Berkaitan dengan sistem saraf pusat. Masalah ini mengganggu kefahaman atau penggunaan perkataan. Istilah yang digunakan ialah aphasia, bermaksud seseorang yang menghadapi kesukaran mentafsir bahasa dalam sesuatu perbualan dan kesukaran menggunakan perkataan yang sesuai semasa berkomunikasi. Masalah pertuturan menyebabkan kanak-kanak berasa tidak selesa dalam situasi sosial serta memberi kesan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.


Ketidakupayaan Fizikal

Ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan atau tiada suatu anggota atau ketidakupayaan di manamana bahagian badan yang mengalami keadaan seperti hemiplegia, paraplegia, tetraplegia, kehilangan anggota, kelemahan otot-otot yang mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan aktiviti asas seperti penjagaan diri, pergerakan dan pertukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau ketidakfungsian sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan lain-lain.
Contoh ketidakupayaan fizikal:
- Limb defects (congential/acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
- Spinal Cord Injury - hanya sekiranya tiada
- Stroke - pengembalian fungsi
- Traumatic Brain Injury - selepas enam (6) bulan
- Kerdil (Achondroplasia) iaitu _ 142cm bagi lelakidan _ 138cm bagi wanita
- Celebral Palsy


Masalah Pembelajaran (BP)

Masalah pembelajaran dianggap sebagai masalah neurologi. Ianya berkaitan dengan cara otak menerima, memproses, menganalisis dan menyimpan maklumat. Masalah pembelajaran merupakan kecelaruan dalam satu atau lebih daripada satu proses psikologi yang melibatkan kefahaman, penggunaan bahasa lisan atau bertulis. Kecelaruan ini boleh menjejaskan keupayaan mendengar, berfikir, bertutur, membaca, menulis, mengeja atau mengira. Masalah pembelajaran termasuklah masalah pembelajaran akademik, bahasa, ingatan, sosioemosi, kemahiran motor dan koordinasi serta hiperaktiviti.
Kategori murid-murid masalah pembelajaran seperti Disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Slow Learner, Autisme, Sindrom Down, Terencat Akal Ringan dan Pintar Cerdas (Jas Laile Suzana Jaafar,1996, Haliza Hamzah, Joy N. Samuel, 2009, Mohd Sharani Ahmad, 2006).

Ketidakupayaan Pelbagai (MD)

Ketidakupayaan pelbagai ialah kombinasi ketidakupayaan seperti yang berikut:
- Masalah pembelajaran dan masalah penglihatan;
- Masalah pembelajaran dan masalah pendengaran;
- Masalah pembelajaran dan masalah fizikal, masalah penglihatan dan masalah pendengaran;

- Masalah penglihatan dan masalah fizikal serta masalah pendengaran dan masalah fizikal.

0 comments:

:a: :b: :c: :d: :e: :f: :g: :h: :i: :j: :k: :l: :m: :n:

Post a Comment