Masalah Sosial



MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA


Gejala Ponteng Sekolah


Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang agak serius. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini sehingga pada masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu tindakan yang tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Pada hemat saya punca-punca sebenar masalah ini haruslah dikenal pasti dengan segera supaya langkah-langkah untuk mengatasinya dapat dijalankan demi masa depan generasi pelajar kita pada masa depan. Ini kerana mereka adalah terdiri daripada bakal pemimpin Negara kelak.



Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.



Pelajar juga mungkin ponteng kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.



Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut didenda, guru yang garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil keputusan untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat juga pelajar yang datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Selain itu, Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya akan ponteng dan bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.



Di antara langkah-langkah yang wajar di ambil untuk menangani masalah ini ialah, biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.



Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab taraf ekonomi keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai kedi di padang golf, dan tidak kurang pula yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan. Malah masih ramai di kalangan pelajar yang bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.



Kesimpulannya sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar ponteng pasti akan meningkat dan akan menggugat cita-cita pihak kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas, dan pintar. Sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara kita. Peranan ibu bapa, pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk memastikan gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi lebih serius.




  
MASALAH SOSIAL DI MALAYSIA


ARAK / MINUMAN KERAS / ALKOHOL

Alkohol sinonim dengan arak atau minuman keras yang selalunya diminum ketika bersosial atau digunakan untuk mempertingkatkan "mood" seseorang. Ia juga boleh mengakibatkan ketagihan jika selalu diminum. Minuman beralkohol terdapat dalam pelbagai bentuk termasuk bir, wain, brandi dan wiski.

Alkohol merupakan perosak masyarakat sejak zaman berzaman. Pengambilan alkohol secara berterusan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira serta menyebabkan kesengsaraan kepada jutaan manusia di seluruh dunia. Alkohol merupakan punca pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat masa kini. Statistik kadar jenayah yang meninggi, pertambahan kes penyakit mental dan keruntuhan institusi keluarga di serata dunia menjadi testimoni bisu kepada kuasa perosak alkohol.

Mengikut syarak, minuman arak adalah haram dan salah di sisi agama bagi individu muslim yang mengambilnya. Antara sebab pengharaman arak oleh syarak kerana ia memabukkan dan boleh menghilangkan akal orang yang meminumnya. Perbuatan meminum arak adalah termasuk dalam perbuatan syaitan yang dipandang keji oleh syarak.


Faktor-faktor pengambilan alkohol :
1) Faktor persekitaran contohnya :
- Mudah didapati
- Harga murah
- Pengiklanan yang menarik di media massa dan media elektronik.

2) Faktor Sosial :
- Pengaruh rakan sebaya
- Latarbelakang keluarga
- Pengaruh idola atau orang-orang yang terkenal
- Budaya

3) Faktor Biologi :
- Keturunan
- Personaliti (contohnya: impulsif, mudah gelabah/terangsang).

Kesan-kesan pengambilan alkohol.
Kesan pengambilan alkohol merangkumi pelbagai aspek kehidupan seseorang.

Implikasi sosial termasuk :
- Kurang konsentrasi yang boleh mengakibatkan kemerosotan prestasi pelajaran atau kurang tumpuan terhadap pekerjaan.
- Kekerapan ponteng sekolah yang boleh mempengaruhi pencapaian akademik
- Kelakuan Delinkuen/salah laku
- Penglibatan remaja dalam jenayah untuk membiayai tabiat ketagihan alkohol

Kesan fizikal alkohol adalah:
- Keadaan mabuk (seseorang itu berjalan terhuyung-hayang, pertuturan yang tidak betul atau jelas, bingung dan bercelaru).
- Keracunan (gejala-gejala termasuk mengantuk yang teramat, tidak sedar diri, sukar
bernafas, paras gula yang rendah, sawan dan juga boleh menyebabkan kematian).
- Alkohol menyekat pusat kawalan.

Manusia memiliki pusat kawalan di otak. Pusat kawalan itu melarang seseorang daripada melakukan perbuatan yang di anggap salah. Contohnya seseorang itu pada kebiasaannya tidak menggunakan bahasa kasar atau kesat ketika berhadapan dengan kedua ibu bapa dan dengan orang yang lebih tua. Jika dia perlu kebilik air, pusat kawalan di otak akan menghalangnya dari membuang air di tempat terbuka, maka dia akan menggunakan tandas.

Apabila seseorang meminum alkohol , pusat kawalan tersebut menjadi tersekat. Inilah yang mengakibatkan seseorang yang mabuk melakukan perbuatan yang bertentangan sama sekali dengan peribadinya. Contohnya seseorang yang mabuk didapati menggunakan bahasa kesat dan tidak menyedari kesilapan itu walaupun sedang berhadapan dengan kedua ibu bapanya.

Gangguan kesihatan termasuk:
- Kerosakan otak yang kekal
- Penyakit hepar ( radang hepar, sirosis, kanser)
- Penyakit jantung (peningkatan tekanan darah, angin ahmar/strok)
- Ulser pada perut (ulser gastrik dan peptik)
- Kanser usus
- Penurunan naluri seks dan mati pucuk
- Keguguran spontan
- Bayi yang tidak normal
- Anaemia (kandungan darah rendah)
- Memperlahankan fungsi sistem saraf pusat
- Mengubah persepsi, emosi, pergerakan, penglihatan, dan pendengaran seseorang.

Masalah Psikososial juga mungkin timbul. Antaranya :
- Perubahan personaliti
- Kemurungan
- Bunuh diri
- Kelakuan agresif

Risiko tidak langsung terhadap kesihatan ?
- Terlibat dalam gejala seks yang tidak selamat (berisiko tinggi mendapat HIV/AIDS)
- Menunjukkan perilaku yang ganas
- Menderita akibat kecederaan contohnya akibat kemalangan jalanraya.

Bilakah seseorang itu disyaki mengalami ketagihan alkohol?
- Keinginan yang teruk atau gian untuk minum alkohol
- Gagal untuk berhenti dari terus minum
- Gejala fizikal ( berketar, berpeluh dan loya)
- Perlu meningkatkan jumlah alkohol yang diminum
- Meneruskan tabiat minum walaupun mengalami banyak masalah yang
diakibatkan oleh alkohol.


Bagaimana anda boleh menghindari dari alkohol?
- Mengamalkan gaya hidup sihat dan banyak bersenam.
- Berkemahiran untuk menangani stress dan masalah yang dihadapi
- Jauhi dari rakan yang mengambil alkohol
- Isikan masa sepenuhnya - Ambil bahagian dalam sukan, mulakan satu program
senaman atau hobi, mengambil bahagian dalam aktiviti sosial yang berfaedah
seperti PROSTAR dan Rakan Muda
- Jangan menerima pelawaan untuk mencuba alkohol walaupun untuk sekali sahaja
- Jauhi dari tempat yang boleh menggalakkan pengambilan alkohol seperti bar,
kelab malam, disko dan sebagainya.
- Mempunyai kemahiran/kebolehan bagi menangani masalah sama ada kecil atau
besar.

Apakah yang boleh anda lakukan jika mempunyai masalah alkohol?
- Dapatkan pertolongan secepat mungkin
- Berbincang dengan orang dewasa yang boleh dipercayai (ibubapa, doktor,
kaunselor sekolah dan sebagainya) atau seseorang yang boleh memberi sokongan.


MITOS REALITI

1)  Penggunaan alkohol membuat seseorang individu berasa seperti dewasa.
- Remaja yang tidak mengambil alkohol adalah lebih matang dan dapat berfikir secara rasional. Mereka juga kurang bermasalah.

2) Alkohol memudahkan mereka mendapat ramai kawan dan diterima sebagai sebahagian dari kumpulan tersebut.
- Rakan yang tidak mengambil alkohol boleh lebih dipercayai dan merupakan kawan yang sentiasa mengambil berat. Perhubungan antara kawan juga lebih sihat tanpa penggunaan alkohol.

3) Alkohol membuatkan seseorang itu nampak "cool" dan berjaya.
- Alkohol mengakibatkan mabuk,yang mana ini jelas tidak "cool" dan juga merbahaya.

4) Alkohol menghilangkan rasa bosan dan memberi keseronokan.
- Kegembiraan adalah lebih nikmat apabila seseorang itu mengambil bahagian dalam aktiviti sihat dan tidak mabuk. Kegembiraan di bawah pengaruh alkohol tidak bertahan lama dan mudah dilupakan.

5) Adalah lebih baik mengambil alkohol semasa remaja supaya anda boleh berhenti mengambilnya semasa dewasa ketika anda mempunyai lebih tanggungjawab. Remaja juga mempunyai tanggungjawab yang penting. Malahan, alkohol boleh mengakibatkan ketagihan hingga ke peringkat dewasa. Memulakan aktiviti sihat pada usia yang muda menjadikan seseorang itu lebih baik dan sihat apabila dewasa kelak.



10 golongan ( dilaknat) yg terlibat dengan arak :

1. Pemerah arak : iaitu pekerja -pekerja yg melakukan kerja pemerahan buah-buahan seperti anggur yg bertujuan hasil dari perahan anggur itu akan dijadikan arak samada mengunakan teknologi moden atau cara lama. Hasil pekerjaannya ( upah/gaji yg diterima ) adalah haram begitu juga perbuatannya.

2. Meminta diperahkan arak untuknya : Bermaksud majikan /pengurus sesebuah syarikat yg menggaji beberapa orang pekerja di kilangnya untuk bekerja sebagai operator pengeluaran .Maka haramlah pekerjaannya itu.

3. Peminum arak : Orang yg meminum arak walaupun setitik /tidak mabuk /hanya cuba-cuba .perbuatan itu adalah haram

4. Pembawa arak : Ia boleh dimaksudkan sebagai pelayan di sesebuah restoran/kedai makan /hotel ataupun boleh juga dimaksudkan sebagai pemandu lori yg membawa muatan arak dari sesuatu tempat ke suatu tempat yg lain .Perbuatan itu adalah haram walaupun ia tidak meminumnya .

5. Meminta dibawakan arak kepadanya bermaksud seseorang yg membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi .Maka perbuatan itu adalah haram

6. Memberi minum arak kepada orang lain bermaksud seseorang yg memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya cth : seseorang Islam membelanja minum rakannya bukan Islam minum arak di sesebuah restoran. Perbuatan itu adalah haram

7. Penjual arak : Boleh diertikan sebagai tuan kedai /restoran yg menjual arak kepada pelanggannya walaupun dia tidak meminumnya ,perbuatan itu juga haram .

8. Orang yg mendapat hasil drp arak : Suatu skop yg lebih luas dan pelbagai bolehlah dikatakan sebarang aktiviti yg berkaitan dengan arak adalah haram cth : Pengawal keselamatan yg mengawal keselamatan kilang arak dan mendapat gaji daripada pengurus kilang tersebut . Maka perbuatan/gaji itu adalah haram.

9. Orang yg membeli arak bermaksud orang yg membeli arak samada untuk diminum atau tidak . Maka perbuatan itu pun haram

10. Orang yg meminta dibelikan arak untuknya : Bermaksud seseorang yg meminta seseorang yg lain membelikan arak untuknya kerana sebab yg tertentu .

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud

” Wahai orang yang beriman!. Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.”

Setiap yang memabukkan dan menghilangkan akal fikiran itu haram hukumnya. Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud, Dari Ibnu Umar r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda;
” Setiap yang memabukkan dinamakan khamar (arak) dan setiap yang memabukkan haram hukumnya.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud; “Dari Ibnu Abbas berkata; Rasulullah SAW bersabda;

“Jauhilah arak kerana ia adalah kunci segala kejahatan“

Imam Abu Laits berkata;

“Jauhilah diri daripada arak kerana ia mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi seperti gila. Allah S.W.T akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah S.W.T dan dibenci oleh para malaikat.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkanoleh AlHakim yang bermaksud;

“Apabila seseorang melakukan zina atau minum arak, maka Allah mencabut imamnya seperti mana orang yang menanggalkan baju melalui kepalanya”.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, arak adalah ibu segala maksiat. Sebagai seorang mukmin , kita wajib menghindari diri daripada terlibat atau terjerumus ke dalam lembah maksiat seperti minum arak , berjudi, berzina, menipu,pecah amanah, mengamalkan rasuah dan sebagainya lagi yang mengundang kemurkaan allah SWT.

FAKTA:
• Orang yang meminum arak seolah-olah seperti orang gila.

• Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak.

• Amalan serta doanya tidak akan diterima Allah SWT selama 40 hari.

• Orang yang meminum arak akan dijauhi dari rahmat Allah SWT.